Tuesday 22 May 2012



Menyedari kewujudan pelbagai laman sosial akhir-akhir ini memberi inspirasi kepada Rustam Rizalman Ghazali, 42, untuk membangunkan laman sosial yang memiliki ciri-ciri halal, Halalsurf.com.

Ditubuhkan pada Mei 2008 dan hanya siap sepenuhnya Jun 2011, laman sosial itu memberi informasi dan perkongsian maklumat halal termasuk produk, maklumat, perkhidmatan, lokasi, forum, laman blog, foto, pekerjaan serta video di serata dunia.

“Laman sosial ini bukan sahaja untuk umat Islam, malah terbuka kepada bukan Islam berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

“HalalSurf.com menawarkan perkhidmatan secara percuma dan pembangunan aplikasi bergantung terhadap keupayaan server yang lebih besar dan laju,” katanya, yang juga bekas graduan Diploma jurusan Sains Komputer, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun,
Terengganu dan Ijazah Kejuruteraan Perisian Universiti Conventry, United Kingdom.


Sasar 5 juta ahli 2015

Menurutnya, sejak diperkenalkan tahun lalu, Halalsurf.com kini mempunyai 1,250 ahli tetap dan 15,000 peminat di Facebook serta 500 peminat di Twitter.

Rustam berkata, laman sosial seumpama itu merupakan yang pertama di dunia. Halalsurf.com berharap daripada 1.8 bilion umat Islam di dunia, sekurang-kurangnya dua juta daripadanya menjadi ahli menjelang akhir tahun ini, sekali gus berhasrat mencapai sasaran lima juta ahli menjelang 2015.

Halalsurf.com kini berada di beberapa negara luar seperti Pakistan, India, Jepun, Korea, Amerika Syarikat termasuk Malaysia, yang turut mempunyai ahli paling ramai merangkumi 40 peratus berbanding negara lain.


Mudah digunakan

Menurutnya, laman sosial Halalsurf.com sangat mudah digunakan kerana mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan Facebook, namun berbeza daripada segi kandungan.

“Laman Halalsurf.com tidak membenarkan sebarang gambar dan video yang berbentuk negatif dimuat turun di laman sosial ini.

“Oleh itu, kami sentiasa memantau dan akan memadam mana-mana status, gambar atau video berkenaan,” katanya, yang beroperasi di Kajang, Selangor.


Bakal perkenal ciri baru

HalalSurf.com turut ditawarkan dalam versi mudah alih iaitu Andriod serendah AS$1 (RM3) bagi setiap muat turun, yang bertujuan memudahkan pengguna berinteraksi lebih berkesan.

Rustam berkata, selain aplikasi itu, bagi memantapkan lagi perkhidmatan laman sosial tersebut, Halalsurf.com bakal menawarkan beberapa ciri baru seperti lelong secara Islam, hartanah, lokasi masjid di seluruh dunia, pasar borong maya, arah kiblat, tadarus atas talian dan pelbagai aplikasi berkaitan Islamik.


Hasrat jadi hab dagangan halal

Selain berkongsi maklumat berhubung halal, Halalsurf.com juga berhasrat menjadi hab dagangan halal bagi produk-produk halal di seluruh dunia.

“Kami akan memberi peluang kepada peniaga memperkenalkan produk kepada umat Islam di luar negara menerusi laman ini.

“Secara tidak langsung, laman sosial ini menjadi lokasi peniaga Islam memasarkan produk ke peringkat antarabangsa,” katanya, yang pernah terlibat dalam industri Teknologi Maklumat sebelum berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, Halalsurf.com turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk menjadi penaja laman sosial tersebut.



Sumber: Sinar Harian

11:12 am   Posted by Khairul in

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter

Search