Selain dari pengujian terhadap rangkaian internet berwayar,
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut melakukan pengujian terhadap
kualiti rangkaian jalur lebar mudah alih di seluruh Malaysia.
Sama seperti pengujian pada rangkaian berwayar, program ini
dijalankan bertujuan menguji tahap prestasi rangkaian telco tempatan disamping
melihat sejauh mana penyedia perkhidmatan mampu memenuhi piawaian mandatori
yang telah ditetapkan oleh SKMM.
Bagi perkhidmatan berasaskan selular, SKMM telah menetapkan
kadar kelajuan minima yang perlu dicapai adalah pada 650kbps untuk
sekurang-kurangnya 65 peratus pada satu-satu tempoh. Manakala perkhidmatan
berasaskan WiMAX pula, kadar kelajuan minima yang perlu dicapai adalah juga
pada 650kbps untuk tempoh sekurang-kurangnya 80 peratus. Perbezaan penetapan
ini berikutan perkhidmatan WiMAX tidak seperti selular yang perlu membawa
‘beban suara’ untuk pelanggan-pelanggannya.
Turut diambil kira, kependaman rangkaian (network latency) tidak
boleh lebih dari 250ms sekurang-kurangnya 70 peratus dalam satu-satu masa,
bersama-sama kadar kehilangan paket kurang dari 3 peratus. Hasil dari pengujian
yang dijalankan selama 11 bulan – Januari 2016 hingga November 2016 – adalah
seperti berikut;
Secara keseluruhannya, di dalam laporan berkenaan mendapati
Maxis telah mendahului kesemua telco dari segi kelajuan muat turun dan Digi
menghampiri kedudukan Maxis dari segi kependaman purata. Celcom pula lebih baik
peratusan kependamannya yang mencatatkan 94.08 peratus. Bagaimanapun, Maxis
masih mengungguli dengan mencatatkan kadar kehilangan paket paling rendah di
antara empat telco utama di Malaysia (Big 4 Telco Malaysia; Maxis, Celcom,
Digi, Umobile).
Untuk dua lagi penyedia perkhidmatan, P1 dan YES yang berasaskan
WiMAX di Malaysia bagaimanapun tidak mampu mencatatkan purata kelajuan muat
turun yang lebih baik berbanding apa yang ditawarkan oleh penyedia-penyedia
rangkaian selular.