Monday 28 May 2012


KUALA LUMPUR - Rakuten Inc, syarikat e-dagang terulung Jepun, hari ini mengumumkan rancangan untuk melancarkan pusat membeli-belah Internet di Malaysia, Rakuten Online Shoping.

Perkhidmatan ini akan memperkenal pengalaman membeli-belah dalam talian yang serba baharu dan unik kepada para pengguna di Malaysia.

Rakuten kini menarik penyertaan rakan kongsi niaga dalam kalangan syarikat jualan dan pemasaran bagi memenuhi keperluan pusat membeli-belah dalam talian
tersebut menjelang pelancarannya pada akhir 2012.

Rakuten Online Shopping akan memberi tumpuan terhadap penawaran barangan terbaik tempatan dan antarabangsa kepada pengguna di Malaysia serta menerapkan
tahap perkhidmatan pelanggan Jepun yang terkenal di serata dunia.

Usaha Rakuten Online Shopping meluaskan tapak Rakuten di Asia Tenggara menandakan kemasukan pasaran e-dagang ketiganya di rantau ini, menyusuli TARAD.com di Thailand pada 2009, dan Rakuten Belanja Online di Indonesia pada 2011.

"Pengalaman membeli-belah Rakuten menjanjikan hanya yang terbaik kepada pengguna dan pedagang," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Online
Shopping, Masaya Ueno.

"Kami memperkasa syarikat jualan dan pemasaran dengan platform, peralatan dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk menjalankan perniagaan dalam talian
yang berjaya.

"Kami juga membolehkan mereka menyusun antara muka kedai dalam talian mereka bagi mempertingkat daya tarikan jenama mereka sendiri dan membolehkan mereka
berkomunikasi secara langsung dengan para pelanggan," katanya.

Fleksibiliti dan interaksi ini menghidupkan pengalaman dan mengembalikan keseronokan membeli-belah dalam talian.

Pada 1997, Rakuten melancarkan platform e-dagang perintis, Rakuten Ichiba, di Jepun yang mengguna pakai model perniagaan kepada perniagaan kepada pengguna
(B2B2C), dengan pedagang membina paparan depan kedai dalam talian di tempat jualan dan menjual secara langsung kepada pengguna.

Model unik ini memperkasakan pengguna dan pedagang dan telah memacu Rakuten menjadi syarikat e-dagang ketiga terbesar di dunia dari segi perolehan.

Ueno berkata Malaysia ialah pasaran menarik ekoran kestabilan ekonomi dan prasarana yang lengkap bagi pembangunan e-dagang, termasuk Internet, logistik dan kemudahan pembayaran dalam talian.

Perkembangan pasaran Malaysia dan trend membeli-belah dalam talian yang semakin menggalakkan, menawarkan suatu peluang cerah bagi Rakuten di pasaran
ini, katanya.

Rakuten menembusi Malaysia pada masa yang tepat berikutan petunjuk pasaran yang menggalakkan. Pada fasa permulaan ini, Rakuten akan mencari rakan kongsi niaga dalam kalangan syarikat jualan dan pemasaran bersaiz sederhana dan besar dalam pelbagai industri di Malaysia termasuk fesyen dan pakaian, IT dan elektronik, buku dan barangan mewah," kata Ueno.

"Sasaran kami ialah untuk merancakkan pertumbuhan berterusan e-dagang di Malaysia menerusi pemindahan pengetahuan kami dan usaha membantu para penjual menjadikan membeli-belah dalam talian suatu perniagaan yang berdaya maju dan berkekalan, berasaskan kepakaran e-dagang yang kami miliki selama 15 tahun,"
katanya.

Malaysia merupakan sebuah pasaran yang giat di samping memenuhi kadar penembusan Internet yang tinggi di kalangan negara Asean. Beliau berkata pasaran membeli-belah dalam talian bakal tumbuh pada tahap yang pantas pada masa depan.

Perniagaan Internet sudahpun mencecah RM842 juta pada 2011 dan angka ini dijangka melepasi RM1.9 bilion menjelang 2016. - Bernama




10:57 am   Posted by Khairul in

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter

Search