Wednesday 30 May 2012


KUALA LUMPUR 28 Mei - Para pelajar dinasihatkan agar menggunakan komputer dan perkhidmatan jalur lebar sebaik-baiknya kerana ia akan memberi kesan negatif sekiranya disalah guna.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, gajet tersebut boleh menjadi 'racun' kepada pelajar jika mereka mengakses laman web yang tidak berfaedah.

"Komputer sebenarnya boleh menjadi 'ubat' kalau pelajar-pelajar memanfaatkannya sebagai gerbang ilmu untuk tujuan pembelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia bagi Parlimen Cheras di sini semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Cheras yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Tengah, Fadilah Mohd. Nor.

Penyerahan komputer riba fasa kedua itu membabitkan 300 pelajar dari 12 buah sekolah menengah sekitar Cheras.

Seorang penerima, R. Krishnaraja, 16, berkata, komputer pertama miliknya dan keluarga itu akan dimanfaatkan sebaiknya untuk tujuan pelajaran kerana ia membantu dalam mencari maklumat.

"Saya akan mengingati kata-kata Datuk Ahmad mengenai komputer boleh menjadi racun atau ubat dan berharap rakan-rakan turut sama berpegang kepada peringatan itu," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Miharja.

Pelajar SMK Yaakob Latif, Nurul Sahira Kasmawi, 15, berkata, penerimaan komputer riba itu memberi semangat kepadanya dalam persediaan menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR) nanti.

"Saya memang tiada perancangan untuk membeli komputer ketika ini kerana keluarga bukanlah orang senang. Jadi saya sangat bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin kerana memberi komputer ini," katanya.

Seorang lagi pelajar, Sun Sieh Mae, 16, berkata, komputer riba sangat praktikal kepada pelajar ketika ini kerana ia mudah dibawa ke mana sahaja.

"Selepas ini, kalau mahu menyiapkan folio saya sudah tidak perlu ke kafe siber lagi kerana boleh dilakukan di sekolah bersama rakan-rakan,"' katanya.

Sumber: Utusan




8:06 am   Posted by Khairul in

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter

Search