Friday 20 April 2012

Pusat siber berhampiran PPR Seri Alam, yang didakwa penduduk sekitar menjadi tempat pelajar ponteng sekolah melepak


KUALA LUMPUR 18 April – Kewujudan sebuah pusat siber berhampiran kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam sebelum ini diterima baik oleh penduduk kerana ia diharapkan dapat membantu anak-anak mereka melakukan kerja-kerja sekolah.

Bagaimanapun, pusat siber yang mula beroperasi sejak kira-kira dua bulan lalu itu kini dilihat oleh penduduk perumahan berhampiran Jalan Lapangan Terbang Lama itu sudah menyimpang daripada matlamat asalnya, sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk.

Ini kerana ia sudah menjadi tempat segelintir anak-anak muda, terutama pelajar menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah, termasuk mereka yang baru berusia enam tahun.

Penduduk mendakwa, pusat siber itu kini menjadi pencetus kepada masalah sosial di kalangan anak-anak belasan tahun yang dapat mereka lihat telah mengalami perubahan daripada segi sikap dan tingkah laku.

Selain sudah pandai ponteng sekolah dan berjinak-jinak dengan rokok, kata mereka, ada antaranya yang sudah berani mencuri wang ibu bapa semata-mata untuk dibelanjakan di pusat siber itu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati jarak pusat siber itu hanya kira-kira 30 meter dari Blok 6, PPR berkenaan dan kebimbangan penduduk berhubung masalah itu cukup berasas.

Dengan hanya menukar uniform sekolah kepada kemeja T, pelajar-pelajar itu itu sudah dibenarkan masuk ke pusat siber itu.

Dilihat, rata-rata pelajar yang mengunjungi pusat siber itu berumur antara tujuh hingga 16 tahun. Malah ada yang baru berusia lima tahun.

Difahamkan, mereka mula memenuhi pusat siber yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu seawal 10 pagi sehingga 2 pagi hari berikutnya.

Selain pusat siber di situ, penduduk meminta agar pihak berkuasa dapat memantau sebuah premis berhampiran yang disyaki menyediakan kegiatan perjudian dalam talian.

Syak wasangka penduduk itu adalah berdasarkan keadaan premis itu yang bercermin gelap dan dilengkapi alat elektronik yang memerlukan kata laluan untuk pelanggan memasukinya.

Sumber: utusan




9:54 pm   Posted by Khairul in

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter

Search