Wednesday 6 June 2012



SEMESTINYA peminat bola sepak menantikan tarikh 8 Jun ini untuk kembali duduk di depan televisyen bersengkang mata menonton Euro 2012 selepas meraikan atau meratapi (bukan penyokong) kemenangan Manchester City dan Real Madrid dalam Liga Perdana Inggeris dan Liga BBVA, bulan lalu.

Secara tradisinya, televisyen menjadi mesin pilihan menonton bola sepak kalau anda tidak berupaya ke stadium.

Tapi jangan dilupakan evolusi TV internet yang sinonim dengan IPTV mengembangkan kaedah manusia menonton, malah berinteraksi dengan kandungan sama ada menerusi TV atau komputer peribadi (PC).

Menariknya, menonton televisyen menggunakan IPTV tidak nampak perbezaannya, malah mempamerkan visual da audio berkualiti tinggi sama seperti siaran televisyen biasa.


Maksudnya dengan PC atau apa saja peranti capaian internet, penonton boleh menonton program menarik menerusi kaedah diperkenalkan hasil teknologi masa depan itu dengan visual berkualiti tinggi dan memberi kemudahan untuk akses di mana saja asalkan mempunyai kemudahan internet.


IPTV adalah sistem iaitu perkhidmatan televisyen digital disampaikan menggunakan protokol internet merentasi prasarana rangkaian termasuk kemampuannya yang disambung menerusi jalur lebar.

Dua ciri yang diperlukan hanya PC seperti laptop atau tablet dan dihubungkan menerusi sambungan internet.



Setiap perlawanan ditonton secara ‘online’ terbabit dinamakan ‘stream’ yang digunakan apabila siaran disalurkan secara terus ke rangkaian telekomunikasi menerusi pemindahan data tertentu.

Keseluruhan data dalam stream perlawanan bola sepak depan PC itu menarik memandangkan beberapa laman web menawarkan beberapa perlawanan secara langsung, termasuk pembukaan antara Poland dan Greece.

Bagaimanapun, untuk semua perlawanan itu bergantung kepada teknologi pihak ketiga bagi membolehkannya mengadakan tayangan secara langsung itu.

Tayangan secara langsung adalah ‘evolusi biasa video online’ yang menambah tahap baru tarikan bagi penonton internet itu.

Beberapa entiti melangkah dalam ruang tayangan video secara langsung sama ada secara rasmi atau tidak.

Beberapa laman web terkenal seperti Ustream.tv, dan Livestream masing-masing sudah beroperasi, namun isu lesen tidak memungkinkan mereka melancarkan siaran langsung perlawanan.

Terdapat juga aplikasi yang membolehkan pengguna memainkan video menggunakan semua peranti yang boleh dibawa ke mana saja seperti telefon dan tablet.

Aplikasi itu berbeza dengan aplikasi di pasaran kerana ia membolehkan pengguna menonton video lebih lancar tanpa proses buffering.

Kebiasaannya, pengguna menonton video menggunakan laman percuma, namun ia bergantung kepada kelajuan internet dan kualiti gambar.

Jika kualiti gambar tinggi, maka video yang ditonton mengambil masa untuk dipindah turun, malah mengganggu rangkaian lebar jalur.

Terdapat aplikasi yang menyesuaikan perkhidmatan mereka menggunakan akses minimum yang membolehkan pengguna menonton video lebih lancar melalui apa saja peranti yang ada di pasaran.

Apa yang lebih penting, ia lebih mudah ditonton kerana tidak membabitkan proses buffering dan tidak mengganggu kualiti asal video.

Kualiti stream pula merujuk kepada kualiti imej dan audio yang dipindahkan daripada pelayan penerbit siaran langsung terbabit terus ke skrin utama pengguna. Lebih tinggi kualiti video seperti format definisi tinggi atau HD beresolusi 720p, ia memerlukan lebar jalur yang lebih tinggi dan kelajuan sambungan pantas. 

Kadar kilobit sesaat (Kbps) yang diterima pengguna menerusi pindah turun diperlukan untuk stream video definisi tinggi yang dikodkan dengan H.264 biasanya 3500 Kbps lebih tinggi berbanding standard televisyen tradisional iaitu sekitar 500 hingga 1500 Kbps bergantung kepada resolusi pada skrin.

Di United Kingdom misalnya, syarikat penyiaran BBC memperkenalkan aplikasi iPlayer yang menawarkan siaran langsung untuk beberapa program tertentu dengan jumlah trafik yang terbesar apabila menawarkan kandungan HD bersama kandungan SD.

Pada kebiasaannya, stream video HD memerlukan kira-kira 1.5 Gigabait (GB) data setiap jam.

Kecanggihan teknologi komunikasi hari ini memang boleh dibanggakan kerana pelbagai urusan dapat dilakukan dengan mudah. 

Stream perlawanan Euro 2012 nanti juga sebenarnya boleh diakses menerusi telefon pintar yang bukan sekadar untuk berbual tetapi digunakan untuk melakukan apa saja.

Pada masa ini, selain menonton di televisyen atau PC, pengguna turut berpeluang menonton melalui telefon pintar.

Melalui teknologi TV telefon pintar, penonton boleh menonton program pilihan mereka dalam telefon bimbit. Ia boleh ditonton pada setiap masa mengikut kelapangan, keinginan dan lokasi mereka berada.

Beberapa jenama telefon yang lengkap dengan isyarat radio boleh mengesan rangkaian televisyen percuma seperti TV3.

Secara tidak langsung, anda boleh menonton perlawanan bola sepak menerusi saluran Media Prima terbabit dengan hanya menarik tinggi antena di bahagian tepi telefon.

Manakala syarikat penyiaran satelit Astro memperkenalkan aplikasi Astro On The Go yang boleh diakses sebaik pengguna memindah turun aplikasi terbabit menerusi platform iPad dikeluarkan Apple.

Selain itu, penyiar sukan rasmi, ESPN menyediakan platform secara online bagi membolehkan pengguna menonton perlawanan Euro 2012 apabila laman webnya turut mampu diakses terus dari laptop anda.

Melihat bagaimana kandungan mula disalurkan secara online dan medium mudah alih, ESPN berjaya memenuhi pola penggunaan yang berubah ini melalui pengenalan mobileESPN dan ESPN Player.

ESPN Player menyaksikan kadar pertumbuhan positif dan konsisten sejak pelancarannya pada September 2010.

Bilangan pengunjung unik purata secara mingguan pada Mac 2011 berganda berbanding angka Disember 2010 dengan pelbagai kandungan sukan langsung dipaparkan melalui rangkaian jalur lebar.

Pembahagian sukan kesukaan juga menunjukkan lebih 70 peratus penonton negara ini mahukan siaran langsung atau rancangan melalui ESPN Player manakala 30 peratus memilih untuk menonton ikut permintaan. Apa yang penting, tabiat menonton secara online peminat sukan di Malaysia menunjukkan bukti bahawa ciri stream dapat membina dan mengekalkan bilangan penonton. Malah, trend menonton sukan secara online dijangka akan terus meningkat ditambah siaran khas seperti Euro 2012.


Terdapat beberapa laman web yang menyediakan saluran siaran langsung perlawanan Euro 2012 sama ada secara percuma atau berbayar seperti:

1. IGN.com
2. Theskystream
3. euro2012tv
4. livesoccertv
5. justin.tv
6. watchpremierleague
7. firstrowsport
8. ronaldo7
9. vipbox





6:28 pm   Posted by Khairul in

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter

Search